QUOTE
Sindir PM, majalah humor dirampas

http://www.malaysiakini.com/news/111321

Sekumpulan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu pejabat majalah humor terbaru Gedung Kartun hari ini susulan penerbitan edisi sulungnya yang menyindir perdana menteri.

Lapan pegawai itu berada sejam di pejabat majalah dwibulanan itu di Brickfields sejak 10.30 pagi - dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Sebanyak 408 naskhah majalah terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd dirampas bagi kesalahan bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau penerbitan tanpa permit.

Ketua pengarangnya Zunar berkata rampasan itu bermotif politik kerana pihaknya telah mendapat kelulusan secara lisan daripada KDN untuk menerbitkan Gedung Kartun.


Ditemui Malaysiakini di pejabatnya sewaktu serbuan itu, beliau berkata mencetak majalah tersebut tanpa mendapat surat kelulusan untuk mengelak karenah birokrasi.

"Kita belum dapat surat rasmi tapi sebenarnya sudah ada kelulusan daripada menteri. Pada 14 Ogos, KDN janji untuk hantar surat dalam masa dua atau tiga hari.


"Sudah menjadi amalan biasa bagi penerbit, bila kita sudah habis mencetak kita akan dapat surat rasmi," katanya.

“Masalahnya tidak ada surat. Sepatutnya mereka keluarkanlah surat, selesailah masalah,” katanya lagi.

Selain Najib, isterinya Rosmah Mansor dan beberapa pemimpin Umno, majalah setebal 68 halaman itu turut memuatkan "nostalgia 98", sejarah peristiwa penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian insiden mata lebam sewaktu dalam tahanan polis
.